Purnama Holdings, Kuala Lumpur
Ryzal bersandar di kerusi sambil mengeluh pendek. Memicit-micit kepalanya yang sakit akibat masalah bersama kliennya sebentar tadi. Dato’ Zaini menolak kertas kerjanya atas alasan ianya tidak lengkap. Padahal Ryzal sudah berkali-kali menyemak kertas kerjanya sebelum diserahkan kepada Dato’ Zaini. Dia melihat-lihat sekali lagi apa yang tidak lengkap pada kertas kerjanya. Kemudian, dia menekan talian interkom setiausahanya.
“Alyssa, masuk bilik saya sekejap”, arah Ryzal. Kemudian kembali bersandar sambil memejamkan matanya yang terasa lesu.
Bunyi ketukan pintu mengejutkan Ryzal.
“Ya, masuk”, sambil membetulkan kembali posisi tubuhnya.
Alyssa berjalan ke arah Ryzal sambil membawa buku catatan kecil yang biasa dibawa oleh seorang setiausaha.
“Ada apa encik Ryzal nak jumpa saya”, tanya Alyssa berhemah.
“Erm, saya nak awak jumpa dengan pengurus kewangan syarikat kita, Encik Hisham. Minta dia lengkapkan sikit lagi maklumat pada kertas kerja ni. Saya nak awak bagitau dia yang saya perlukan kertas kerja ni sebelum pukul 3 petang esok”, Ryzal mengarah tegas.
“Baik Encik Ryzal. Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?”, Alyssa bertanya sejurus selepas mencatat arahan Ryzal sebentar tadi.
“Tak ada. Awak boleh keluar. Terima kasih Alyssa”, Ryzal membalas dengan senyuman.
Alyssa mengangguk dan terus menapak keluar dari bilik pejabat Ryzal. Ryzal kembali bersandar, memejamkan matanya. Dia cuba untuk tidur sekejap. Sekadar merehatkan tubuhnya yang hanya tidur selama 3 jam sahaja setiap hari.
‘Syika’, Ryzal membuka matanya. Terkejut dengan monolognya sendiri. Nama gadis ayu itu terpacul dari mulutnya ketika dia hampir dibuai mimpi. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Ryzal menyebut nama Syika dalam keadaan yang separa sedar. Cuma dia hairan kenapa nama gadis itu yang terpacul dari mulutnya. Dia berfikir sejenak. Bayangan wajah gadis itu muncul perlahan-lahan di minda khayalannya. Senyuman manis Syika telah meruntun jiwa lelakinya. Dia sudah mula membayangkan wajah gadis itu ketika dia duduk bersendirian.
‘Dah angau ke aku ni?’, Ryzal bermonolog sendirian.
Pantas Ryzal bangun dari kerusinya. Hanya satu saja cara untuk melupakan bayangan yang bermain-main di mindanya. Dia harus menyibukkan dirinya dengan urusan kerja di pejabat. Tapi dia hanyalah manusia biasa. Sungguh dia tidak mampu melupakan gadis itu. Usai sahaja urusan di pejabat, dia balik merehatkan badan. Merebahkan diri di atas katil dengan wajah yang amat kepenatan. Penat mengiring ke kiri, dia mengiring pula ke kanan. Penat menelentang, dia meniarapkan badannya pula. Masih juga wajah Syika yang difikirkannya.
‘Aku harus berbuat sesuatu’, Ryzal mengomel sendiri.
Dia tahu Syika bukan lagi gadis biasa buat dirinya. Selesai sahaja urusan kertas kerja bersama Dato’ Zaini esok, dia akan terus bertolak ke Pulau Pinang. Pasti pihak penganjur akan menyimpan rekod nama orang-orang yang datang ke seminar di USM baru-baru ini. Dia cuma ingin tahu alamat dan nombor telefon Syika dan dia mengharapkan usahanya akan berhasil.
***
Selesai solat Isyak, Syika duduk di hadapan cermin meja soleknya. Menyikat rambutnya yang basah selepas mandi tadi. Dia membuka laci meja soleknya. ‘Catatan Adam’ disimpannya di situ. Lama dia diamkan ‘Catatan Adam’ di situ kerana terlalu sibuk dengan perniagaan di kedainya. Usai menyikat rambut, dia mengambil ‘Catatan Adam’ dan duduk di birai katilnya. Perlahan-lahan dia membuka helaian terakhir yang dibacanya.
Isnin, 25 Januari 2010
Assalamualaikum,
Syika apa khabar? Hari ni sihat?
‘Alhamdulillah Adam, Syika sihat’, balas Syika dalam hati.
Adam doakan Syika sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dari Allah. Amin. Syika tau tak hari ni hari apa? Hari ni hari pertama kali kita jumpa kan? Adam ingat lagi waktu tu Syika tengah makan kat cafe. Lepas tu, Adam tertumpahkan air Adam kat baju Syika. Hehe. Sori ye Syika. Tapi Adam bersyukur sangat orang yang Adam tumpahkan air tu Syika. Sebab Adam rasa kalau orang lain mesti dah marah-marah Adam macam tak cukup mulut.
Syika tergelak sendirian membaca ayat terakhir yang ditulis Adam.
Hari ni Adam belajar surah al-Fatihah. Mula-mula macam susah laa sikit. Tapi bila Ustaz Amri ulang banyak kali baca surah tu, alhamdulillah Adam boleh ikut. Ustaz Amri cakap lepas Adam dah dapat ingat surah al-Fatihah ni dengan betul, baru dia nak ajar Adam macam mana nak solat. Alhamdulillah Allah temukan Adam dengan Syika. Pada Adam, Syikalah perempuan terbaik yang diciptakan Allah untuk Adam. Syika buatkan Adam tertarik dengan Islam. Syika kenalkan Adam dengan cara hidup Islam. Syika ajar Adam apa itu Islam. Selama Adam hidup sebagai seorang kafir, jujur Adam cakap Adam tak pernah rasa Islam tu sangat indah. Tapi alhamdulillah Allah bagi hidayah kat Adam melalui Syika. Adam jumpa cahaya dalam hidup Adam pun melalui Syika. Adam tak pernah menyesal jadi seorang muslim dan Adam harap Syika pun tak pernah menyesal kenal dengan Adam.
‘Sikit pun tak terlintas penyesalan di hati Syika Adam’, Syika bermonolog lagi.
Oklah Syika. Adam ada kerja sikit nak buat lepas ni. Nanti Adam sambung lagi sembang dengan Syika ye. Assalamualaikum.
‘Waalaikummussalam’, jawab Syika sambil tersenyum sendiri. Dia menutup ‘Catatan Adam dan disimpan kembali di dalam laci meja soleknya. Perlahan-lahan ingatan mengenai pertemuannya dengan Adam terlintas di fikirannya.
***
“Sori cik, sori. Saya tak sengaja. Sori sangat-sangat”, lelaki cina itu berkali-kali meminta maaf dengan Syika.
“No, it’s okay. Saya tak kisah pun”, Syika cuba menenangkan keadaan sambil mengesat-ngesat basah pada bajunya.
“Tapi cik, baju cik dah kotor sangat ni. Saya gantikan baju lain ye”, perasaan bersalah masih menyelubungi lelaki cina itu. Segera dihulurkan sapu tangannya kepada Syika untuk mengelap kotor di bajunya.
“Eh, takpe lah. Saya memang tak kisah pun. Lagipun saya dah tak ada kuliah lepas ni. So, saya boleh laa terus balik rumah. Tak payahlah susah-susahkan diri awak nak belikan baju untuk saya ye. Banyak lagi baju saya kat rumah tu”, Syika cuba berjenaka sekadar menghilangkan rasa bersalah lelaki cina tersebut.
“Betul ke ni tak apa?”, masih terpancar kerisauan di wajahnya.
“Iya. Betul. Saya memang tak kisah sangat pun”, Syika hanya senyum saat melihat wajah bersalah lelaki cina itu.
“Kalau macam tu, tak apalah cik. Saya minta maaf sekali lagi ye. Please let me know kalau awak nak saya gantikan dengan baju lain ok?”, pertanyaan lelaki cina itu diiringi gelak tawa perlahan yang cuba disembunyikan oleh Syika.
Masakan dia mahu meminta lelaki itu belikan baju lain buatnya. Seperti perempuan tidak tahu malu saja lagaknya. Tapi Syika hanya membalas dengan anggukan beserta senyuman agar lelaki itu tidak tersinggung dengan perlakuannya.
Lelaki cina tadi terus meminta izin untuk berlalu pergi dari situ memandangkan rakan-rakannya sedang menunggunya untuk makan bersamanya.
Sejurus sahaja Syika duduk kembali di meja makan bersama teman-temannya, Zana terus mengajukan soalan, “Kenapa kau tak mintak je dia gantikan baju kau? Banyak kot dia tumpahkan ni. Kalau aku laa, dah lama dah aku mintak dia belikan baju lain untuk aku. Jimat sikit duit aku.”
Syika hanya membalas dengan senyuman, “Ishh, kau ni. Takkanlaa nak mintak dia belikan pulak. Lagipun aku memang tak kisah pun. Dia bukannya sengaja.”
“Hmm, yelaa tu. Kadang-kadang aku tengok kau ni macam baik sangat laa Syika. Sampai dah macam ni teruk pun baju kau, kau still lagi boleh maafkan dia”, sampuk Asma’ di sebelah Zana.
“Dah, dah. Jom sambung makan balik. Kesimpulannya Cik Syika kita ni bukannya pendendam macam korang. Cik Syika kita ni pemaaf, baik orangnya. Tak gitu Cik Syika?”, jenaka Alia diiringi gelak tawa mereka berempat. Selepas itu, mereka menyambung kembali makan tengah hari mereka yang terbantut sebentar tadi tanpa mengetahui pertemuan tadi memberi seribu satu makna kehidupan pada diri Syika.
***
No comments:
Post a Comment